Kemerdekaan dan Ramadhan
Alhamdulillah pada tahun ini, kita akan menyambut dua peristiwa besar yang berlaku selang sehari, dimana pada hari Ahadnya ,31 Ogos kita akan menyambut Kemerdekaan Malaysia yang ke 51 dan pada hari Isnin, 1 September kita akan menyambut bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadhan dimana diwajibkan kita berpuasa
Bagi pandangan saya Kemerdekaan dan Puasa dibulan Ramadhan ini mempunyai falsafah yang cukup menarik untuk dihayati bersama. Kalau disingkap pengertian Kemerdekaan yang biasa difahami oleh kebanyakkan masyarakat ialah bebasnya sebuah Negara dari cengkaman penjajah dan anak watan bebas untuk memerintah tanah airnya sendiri. Itulah sejarah 31 Ogos dimana Tanah Melayu pada waktu itu bebas dari penjajahan British dan ditadbir sendiri oleh anak watan dan Tunku Abdul Rahman terpilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Persoalannnya adakah setakat itu sajalah pengertian apa itu Kemerdekaan. Saya amat tertarik dengan kata-kata Panglima Islam Jaafar Bin Abi Talib ketika beliau berdepan dengan Maharaja Rom untuk membebaskan Bumi Arab dari cengkaman Rom beliau berkata, Kami adalah satu Bangsa yang datang untuk membebaskan manusia dari menghambakan diri sesama manusia kepada menghambakan diri hanya semata-mata pada Allah Taala. Kemerdekaan yang sebenarnya ialah bukan setakat kita menghalau penjajah dari tanah air tetapi yang lebih penting segala pemikiran , pandangan, dan cara hidup mestilah selari dan selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Allah Taala. Tidak guna kemerdekaan itu sekiranya kita masih lagi bangga dengan budaya yang dibawa oleh penjajah dan masih lagi mengikut hawa nafsu dalam kita menghayati bulan kemerdekaan .
Sesungguhnya dibulan Ramadan mengajar kita erti kemerdekaan , dimana hawa nafsu kita diajak untuk sentiasa mentaati perintah Allah. Bulan Ramadan adalah madrasah tarbiyah yang dikhususkan oleh Allah pada hambanya yang beriman. Bulan penuh barakah, dimana siang harinya diwajibkan kita berpuasa dan malamnya disunatkan kita berdiri malam dengan solat dan bertadarus Al Quran. Sesungguhnya Allah menunjukkan sifat kasih (Rahman) dan Sayang (Rahim) , lebih dari bulan-bulan yang lain dimana ganjaran sunatnya adalah bersamaan wajib dibulan lain, dan bila menunaikan fardu seperti 70 kali pada bulan yang lain, bau busuk mulut orang yang berpuasa disisi Allah ialah lebih harum dari bau kasturi.
Firman Allah Taala yang bermaksud
”Wahai orang-orang beriman, diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (al-Baqarah 183)
Jadi dengan berpuasa ini akan menjadikan kita bertambah takwa kepada Allah , dimana takwa adalah perasaan didalam diri kecintaan hanya pada Allah dengan melaksanakan semua perintah Allah dan takut akan seksaan Allah dengan menjauhi segala larangan Allah.Puasa dibulan Ramadan mengajar kita supaya menjaga mulut jangan mencaci maki dan menghina orang sekiranya kita dihina katakanlah kita berpuasa. Begitu juga puasa dibulan Ramadan mengajar kita Ikhlas kepada Allah Taala kerana sesungguhnya puasa adalah rahsia antara hamba dan Allah taala , sesuai dengan maksud hadis
” Setiap amal anak adam dilipatgandakan pahalanya . Satu macam kebaikkan diberi pahala sepuluh sampai tujuh ratus kali , Allah berfirman, selain puasa kerana puasa itu untuk Ku, Aku akan memberi pahala bagi orang yang berpuasa mengikut kemahuanku , kerana dia meninggalkan nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana Ku................... ” Riwayat Bukhari
Banyak lagi hadis-hadis yang menceritakan kelebihan bulan Ramadan dan puasa pada bulannya. Rugilah kita sekiranya tidak mengambil kelebihan yang ada padanya , janganlah kita menjadi seorang yang berpuasa pada bulan Ramadan yang hanya mendapat dahaga dan lapar sahaja dan yang tidak diampunkan oleh Allah pada Ramadan tersebut, sesuai dengan satu hadis yang panjang bermaksud lebih kurangnya ” Apabila baginda naik anak tangga baginda mengaminkan dan apabila ditanya oleh para sahabat mengapa baginda aminkan baginda bersabda Jibrail muncul kepadaku lalu berkata ” Binasalah dia yang mendapati Ramadan tetapi belum juga diampunkan ” dan aku mengaminkan apa yang Jibril katakan......”
Marilah kita sama-sama mempersiapkan diri untuk menghadapi Bulan Ramadan dengan penuh persaan gembira sepertimana RasulAllah dan para sahabat merindui datangnya Bulan Ramadan. Jangan jadikan Ramadan ini sebagi satu budaya pesta untuk kita melepaskan nafsu kita ketika berbuka , berbukalah ala kadarnya ataupun makanan yang biasa yang kita makan pada masa bulan yang lain. Janganlah memenuhkan perut dengan makanan sehingga kita kurang upaya untuk melaksanakan ibadah malam terutama solat tarawikh.
Marilah kita berazam terutama diri ini pada tahun ini kita bersungguh-sungguh mencari kelebihan yang ada pada bulan Ramadan lebih-lebih lagi malam Qadarnya.Banyakkanlah berzikir, solat sunat serta bertadaraus Al-Quran. Pada kaum Adam marilah kita berazam pada tahun ini kita sembahyang berjemaah semampu yang mungkin. Kata-kata cerdik pandai , Beruntunglah orang menghadapi Ramadan dengan mengambil segala kebaikkannya, Rugilah seseorang itu Ramadan tidak merubah apa yang ada padanya dan Celakalah seseorang itu apabila Ramadan tidak berubah sikapnya malah lebih teruk lagi. Akhir kalam renungilah satu hadis RasulAllah yang bermaksud
” Wahai manusia !, telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati ....................................
Ianya adalah satu bulan yang pada awalnya Rahmat, pertengahannya Keampunan dan akhirnya MERDEKA dari api neraka..................................”
Riwayat Muslim
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN
DAN
MARHABBAN YA RAMADHAN AL MUBARAK
-
No comments:
Post a Comment